Bagaimanakah cara
untuk bangun awal pagi setaip hari? Penuh disiplin dan penuh bersemangat untuk
menghadapi hidup? Menjadi orang orang yang berjaya dan terbilang.
Adakah orang yang bangun awal memang
dilahirkan begitu atau mereka melalui kaedah tertentu? Dalam kes saya,
semestinya ia melalui kaedah tertentu. Semasa saya berusia awal 10-an, saya
biasanya hanya akan masuk ke bilik tidur selepas jam 12 malam, jarang sekali
saya tidur sebelum tengah malam. Akibatnya saya selalunya akan terjaga dan "hidup"
hanya bila hari sudah hampir tengah hari.
Selepas beberapa tahun saya mula sedar betapa tingginya kaitan antara KEJAYAAN danBANGUN
AWAL, termasuklah dalam kehidupan peribadi saya. Dalam beberapa kes yang
jarang bila saya bangun awal pagi, saya dapat rasakan yang produktiviti diri
selalunya akan lebih tinggi, bukan hanya pada waktu pagi, tapi untuk
keseluruhan hari itu. Saya juga dapat merasakan keseluruhan rasa diri yang
cergas, aktif dan bertenaga. Maka oleh kerana saya memang ingin menjadi orang
yang hebat, saya bertekad untuk bangun awal setiap hari secara konsisten. Tanpa
membuang masa lagi, saya kunci jam loceng pada pukul 5 pagi.....dan keesokan
harinya .....
saya tetap bangun bila hari sudah hampir tengah hari..
Hmm..
Saya cuba lagi beberapa kali selepas
itu, setiap kali juga keputusannya tidak lari jauh. Adakah saya memang
dilahirkan dengan genetik bangun lewat? Setiap kali jam loceng berbunyi,
perkara pertama yang terlintas dalam benak pemikiran saya ialah bagaimana mahu
mematikan bunyi yang amat mengganggu itu dan menikmati semula tidur yang amat
lena tadi. Begitulah tabiat saya selama beberapa tahun. Namun saya mula sedar
dari bacaan dan kajian pakar bahawasanya teknik saya itu sebenarnya SALAH.
Hanya selepas saya mengaplikasikan teknik baru ini barulah saya berjaya untuk
bangun awal.
Sebenarnya memang sukar untuk bangun awal jika strategi yang kita gunakan
salah. Tapi dengan strategi yang betul, bangun awal pagi sebenarnya adalah agak
senang.
Antara cara salah yang agak biasa ialah; kamu anggap jika esok kamu mahu bangun
awal, maka strategi paling baik ialah tidur awal pada malam itu. Maka kamu mula
mengkaji masa tidur kamu yang biasa dan mencongak masa tidur yang terbaik untuk
bangun pada pukul 5 pagi. Contohnya jika kamu selalu tidur pada pukul 12 tengah
malam dan bangun pada pukul 7 pagi, maka cara untuk bangun pada pukul 5 pagi
ialah dengan menganjakkan waktu tidur lebih awal dua jam iaitu dengan tidur
pada pukul 10 malam. Kaedah yang nampak logik. Tapi sebenarnya tetap akan
menemui kegagalan.
Boleh dikatakan ada dua pendapat utama tentang corak tidur. Satu ialah yang
mengatakan anda sepatutnya perlu tidur dan bangun pada waktu yang tetap setiap
hari. Dengan kaedah ini seolah olah anda mempunyai dua jam loceng pada dua
ketetapan - anda cuba tidur pada waktu yang tetap pada setiap malam. Kaedah ini
nampak praktikal walaupun dalam suasana kehidupan moden hari ini. Kita perlukan
ketetapan dan badan perlukan rehat yang cukup.
Pendapat yang ke dua pula mengatakan bahawa anda perlu mendengar isyarat atau
signal dari tubuh anda. Tidur hanya bila anda rasa penat dan bangun hanya bila
anda terjaga secara semulajadi. Pendapat ini didasarkan pada pemahaman konsep
biologi manusia itu sendiri. Badan kita akan bereaksi memberi isyarat bila kita
mengantuk, jadi kita perlu akur pada kehendak biologi tubuh badan secara
semulajadi.
Melalui kaedah cuba-cuba dan pengamatan sendiri, saya mendapati kedua-dua
kaedah ini tidak akan memberi corak tidur yang optimum. Kedua-duanya adalah
salah jika anda benar-benar mengambil berat tentang produktiviti diri anda.
Kenapa?
Sekiranya anda tidur pada waktu yang tetap, anda kadang-kadang akan masuk ke
bilik tidur bila anda belum mengantuk. Sekiranya anda berada di atas katil
selama lebih dari 5 minit tanpa tidur, maka anda sebenarnya belum mengantuk!
Bayangkan, setiap malam anda membuang masa lebih dari 5 minit masa anda tanpa
ada apa-apa perkara yang produktif. Ingat; masa itu emas. Masalah
lain ialah anda menganggap anda perlu jumlah waktu yang tidur yang tetap setiap
hari, ia sebenarnya anggapan salah. Keperluan tidur anda pada hakikatnya
berbeza setiap hari.
Sekiranya anda mengikut pendapat ke dua pula iaitu mendengar kehendak biologi
tubuh, anda mungkin akan tidur lebih dari yang perlu dalam kebanyakan kes, terlalu
lebih biasanya 10 hingga 15 jam terkumpul lebih banyak dalam tempoh seminggu
(anda akan rugi 1 hari waktu untuk bekerja). Ramai orang yang tidur dengan cara
ini bisanya akan tidur lebih dari 8 jam setiap hari, yang bermakna mereka
terlalu banyak tidur. Selain itu, waktu pagi anda akan sukar untuk di jangka
kerana mereka akan bangun pada waktu yang berbeza setiap hari (mengikut kata
tubuh). Oleh kerana corak peredaran tubuh kita yang tidak semestinya selari
dengan sistem jam, maka waktu tidur anda akan lari (hanyut) secara rawak.
Cara terbaik bagi saya ialah dengan menggabungkan kedua-dua kaedah di atas.
Sebenarnya ia sangat senang dan ramai orang yang biasa bangun pagi melakukannya
secara semulajadi, tapi ianya merupakan suatu pencapaian hebat bagi diri saya.
Penyelesaiannya ialah dengan masuk ke bilik tidur hanya bila sudah mengantuk
dan bangun pada waktu yang tetap dengan jam loceng pada setiap pagi setiap hari
(7 hari seminggu). Jadi saya akan bangun pada waktu yang sama pada setiap pagi
(dalam kes saya, 6 pagi), tapi saya masuk tidur pada waktu yang berbeza-beza
setiap malam.
Saya akan masuk ke bilik tidur hanya bila saya rasa mengantuk dan tidak mampu
lagi untuk jaga. Ujian mengantuk untuk diri saya ialah bila saya tidak lagi
mampu untuk membaca satu atau dua muka surat sebuah buka tanpa hanyut, maka
saya memang benar-benar mengantuk dan perlu tidur. Kebanyakan dari pengalaman
saya, saya akan tidur dalam sekitar hanya 3 minit selepas berada di atas katil.
Saya baringkan tubuh, selesakan badan, tanpa masalah saya akan terus lelap. Ada
masa saya tidur awal jam 9 setengah. Ada masa saya berjaga sampai 12 tengah
malam. Kebanyakannya saya akan tidur sekitar jam 10 hingga 11 malam. Sekiranya
saya tidak mengantuk, saya akan berjaga sehingga mata saya benar-benar
mengantuk. Membaca adalah aktiviti terbaik untuk waktu sebegini. Sehinggalah
benar-benar mengantuk barulah saya akan masuk untuk tidur di bilik.
Bila jam loceng berbunyi setiap pagi, saya akan menutupnya, geliat beberapa
saat dan kemudian bangun. Saya tidak akan berfikir lagi mengenainya. Dari
pengalaman saya, semakin lama saya mengambil masa, maka semakin tinggi
kebarangkalian saya akan terus tidur. Saya tidak akan membenarkan diri saya
berbual tentang faedah-faedah tidur bila jam sudah berbunyi. Walaupun perasaan
saya masih lagi mahu tidur, saya TERUS bangun.
Selepas beberapa hari dengan tabiat ini, saya dapati corak tidur saya menjadi
sesuatu yang semula jadi. Jika pada suatu malam saya kurang tidur, malam
berikutnya saya akan mudah mengantuk dan tidur awal secara semulajadi.
Sekiranya badan saya bertenaga dan tidak letih, saya akan tidur kurang sedikit.
Tubuh badan saya belajar untuk memaksa saya tidur bila penat dan mengantuk
kerana tubuh saya tahu yang ia akan bangun pada waktu yang sama setiap pagi dan
tidak ada perundingan lagi mengenainya.
Kesan daripada kaedah ini, saya biasanya tidur kurang 90 minit secara normal
setiap malam tetapi saya rasa tubuh saya benar-benar rehat dan segar. Dan saya
jarang untuk tidak tidur bila sudah berada di atas katil.
Dari pembacaan saya, kebanyakan orang yang susah tidur (pengidap penyakit
insomnia) ialah orang yang masuk tidur bila mereka tidak mengantuk. Jika anda
tidak mengantuk dan susah untuk tidur dengan cepat, cuba bangun dan berjaga
untuk seketika. Jangan tidur lagi sehingga tubuh mengeluarkan hormon
memberitahu yang anda perlu tidur (anda akan rasa mengantuk).
Jika anda masuk ke bilik tidur hanya bila anda mengantuk dan bangun pada waktu
yang tetap setiap hari, anda akan sembuh dari penyakit sukar tidur (insomnia).
Malam pertama anda berjaga memang anda akan tidur lewat, tapi anda akan terus
tidur bila masuk ke bilik. Hari pertama memang akan sukar untuk anda kerana
anda bangun awal dan hanya dapat tidur beberapa jam sahaja. Tetapi anda mestilah
menghadapi hari itu dengan cekal dan anda akan merasa mengantuk awal pada malam
ke dua. Selepas beberapa hari anda akan dapati corak tidur akan menjadi sekata
dengan waktu tidur yang tidak jauh berbeza dan tidak ada masalah sukar untuk
tidur lagi.
Jadi, jika anda mahu jadi orang yang bangun awal (atau memiliki lebih kawalan
pada corak tidur dan mengatasi insomnia) maka cuba lah cara ini;
Masuk ke bilik tidur hanya bila anda benar-benar mengantuk dan bangun pada masa
yang tetap setiap pagi, setiap hari, menjadi amalan rutin anda yang wajib. Anda
akan bangun awal dan menjadi manusia cemerlang yang produktif.
Selamat mencuba! Selamat Bangun awal.
Salam Ceria!!
Selamat Beramal…