Monday, July 9, 2012

Bagaimana cara untuk Bangun Awal Pagi Solat Suboh!!!!!!!


Bagaimanakah cara untuk bangun awal pagi setaip hari? Penuh disiplin dan penuh bersemangat untuk menghadapi hidup? Menjadi orang orang yang berjaya dan terbilang. 

Adakah orang yang bangun awal memang dilahirkan begitu atau mereka melalui kaedah tertentu? Dalam kes saya, semestinya ia melalui kaedah tertentu. Semasa saya berusia awal 10-an, saya biasanya hanya akan masuk ke bilik tidur selepas jam 12 malam, jarang sekali saya tidur sebelum tengah malam. Akibatnya saya selalunya akan terjaga dan "hidup" hanya bila hari sudah hampir tengah hari.

Selepas beberapa tahun saya mula sedar betapa tingginya kaitan antara KEJAYAAN danBANGUN AWAL, termasuklah dalam kehidupan peribadi saya. Dalam beberapa kes yang jarang bila saya bangun awal pagi, saya dapat rasakan yang produktiviti diri selalunya akan lebih tinggi, bukan hanya pada waktu pagi, tapi untuk keseluruhan hari itu. Saya juga dapat merasakan keseluruhan rasa diri yang cergas, aktif dan bertenaga. Maka oleh kerana saya memang ingin menjadi orang yang hebat, saya bertekad untuk bangun awal setiap hari secara konsisten. Tanpa membuang masa lagi, saya kunci jam loceng pada pukul 5 pagi.....dan keesokan harinya .....
saya tetap bangun bila hari sudah hampir tengah hari..


Hmm.. 


Saya cuba lagi beberapa kali selepas itu, setiap kali juga keputusannya tidak lari jauh. Adakah saya memang dilahirkan dengan genetik bangun lewat? Setiap kali jam loceng berbunyi, perkara pertama yang terlintas dalam benak pemikiran saya ialah bagaimana mahu mematikan bunyi yang amat mengganggu itu dan menikmati semula tidur yang amat lena tadi. Begitulah tabiat saya selama beberapa tahun. Namun saya mula sedar dari bacaan dan kajian pakar bahawasanya teknik saya itu sebenarnya SALAH. Hanya selepas saya mengaplikasikan teknik baru ini barulah saya berjaya untuk bangun awal.

Sebenarnya memang sukar untuk bangun awal jika strategi yang kita gunakan salah. Tapi dengan strategi yang betul, bangun awal pagi sebenarnya adalah agak senang.

Antara cara salah yang agak biasa ialah; kamu anggap jika esok kamu mahu bangun awal, maka strategi paling baik ialah tidur awal pada malam itu. Maka kamu mula mengkaji masa tidur kamu yang biasa dan mencongak masa tidur yang terbaik untuk bangun pada pukul 5 pagi. Contohnya jika kamu selalu tidur pada pukul 12 tengah malam dan bangun pada pukul 7 pagi, maka cara untuk bangun pada pukul 5 pagi ialah dengan menganjakkan waktu tidur lebih awal dua jam iaitu dengan tidur pada pukul 10 malam. Kaedah yang nampak logik. Tapi sebenarnya tetap akan menemui kegagalan.


Boleh dikatakan ada dua pendapat utama tentang corak tidur. Satu ialah yang mengatakan anda sepatutnya perlu tidur dan bangun pada waktu yang tetap setiap hari. Dengan kaedah ini seolah olah anda mempunyai dua jam loceng pada dua ketetapan - anda cuba tidur pada waktu yang tetap pada setiap malam. Kaedah ini nampak praktikal walaupun dalam suasana kehidupan moden hari ini. Kita perlukan ketetapan dan badan perlukan rehat yang cukup.

Pendapat yang ke dua pula mengatakan bahawa anda perlu mendengar isyarat atau signal dari tubuh anda. Tidur hanya bila anda rasa penat dan bangun hanya bila anda terjaga secara semulajadi. Pendapat ini didasarkan pada pemahaman konsep biologi manusia itu sendiri. Badan kita akan bereaksi memberi isyarat bila kita mengantuk, jadi kita perlu akur pada kehendak biologi tubuh badan secara semulajadi.

Melalui kaedah cuba-cuba dan pengamatan sendiri, saya mendapati kedua-dua kaedah ini tidak akan memberi corak tidur yang optimum. Kedua-duanya adalah salah jika anda benar-benar mengambil berat tentang produktiviti diri anda. Kenapa?

Sekiranya anda tidur pada waktu yang tetap, anda kadang-kadang akan masuk ke bilik tidur bila anda belum mengantuk. Sekiranya anda berada di atas katil selama lebih dari 5 minit tanpa tidur, maka anda sebenarnya belum mengantuk! Bayangkan, setiap malam anda membuang masa lebih dari 5 minit masa anda tanpa ada apa-apa perkara yang produktif. Ingat; masa itu emas. Masalah lain ialah anda menganggap anda perlu jumlah waktu yang tidur yang tetap setiap hari, ia sebenarnya anggapan salah. Keperluan tidur anda pada hakikatnya berbeza setiap hari.

Sekiranya anda mengikut pendapat ke dua pula iaitu mendengar kehendak biologi tubuh, anda mungkin akan tidur lebih dari yang perlu dalam kebanyakan kes, terlalu lebih biasanya 10 hingga 15 jam terkumpul lebih banyak dalam tempoh seminggu (anda akan rugi 1 hari waktu untuk bekerja). Ramai orang yang tidur dengan cara ini bisanya akan tidur lebih dari 8 jam setiap hari, yang bermakna mereka terlalu banyak tidur. Selain itu, waktu pagi anda akan sukar untuk di jangka kerana mereka akan bangun pada waktu yang berbeza setiap hari (mengikut kata tubuh). Oleh kerana corak peredaran tubuh kita yang tidak semestinya selari dengan sistem jam, maka waktu tidur anda akan lari (hanyut) secara rawak.

Cara terbaik bagi saya ialah dengan menggabungkan kedua-dua kaedah di atas. Sebenarnya ia sangat senang dan ramai orang yang biasa bangun pagi melakukannya secara semulajadi, tapi ianya merupakan suatu pencapaian hebat bagi diri saya. Penyelesaiannya ialah dengan masuk ke bilik tidur hanya bila sudah mengantuk dan bangun pada waktu yang tetap dengan jam loceng pada setiap pagi setiap hari (7 hari seminggu). Jadi saya akan bangun pada waktu yang sama pada setiap pagi (dalam kes saya, 6 pagi), tapi saya masuk tidur pada waktu yang berbeza-beza setiap malam.

Saya akan masuk ke bilik tidur hanya bila saya rasa mengantuk dan tidak mampu lagi untuk jaga. Ujian mengantuk untuk diri saya ialah bila saya tidak lagi mampu untuk membaca satu atau dua muka surat sebuah buka tanpa hanyut, maka saya memang benar-benar mengantuk dan perlu tidur. Kebanyakan dari pengalaman saya, saya akan tidur dalam sekitar hanya 3 minit selepas berada di atas katil. Saya baringkan tubuh, selesakan badan, tanpa masalah saya akan terus lelap. Ada masa saya tidur awal jam 9 setengah. Ada masa saya berjaga sampai 12 tengah malam. Kebanyakannya saya akan tidur sekitar jam 10 hingga 11 malam. Sekiranya saya tidak mengantuk, saya akan berjaga sehingga mata saya benar-benar mengantuk. Membaca adalah aktiviti terbaik untuk waktu sebegini. Sehinggalah benar-benar mengantuk barulah saya akan masuk untuk tidur di bilik.

Bila jam loceng berbunyi setiap pagi, saya akan menutupnya, geliat beberapa saat dan kemudian bangun. Saya tidak akan berfikir lagi mengenainya. Dari pengalaman saya, semakin lama saya mengambil masa, maka semakin tinggi kebarangkalian saya akan terus tidur. Saya tidak akan membenarkan diri saya berbual tentang faedah-faedah tidur bila jam sudah berbunyi. Walaupun perasaan saya masih lagi mahu tidur, saya TERUS bangun.

Selepas beberapa hari dengan tabiat ini, saya dapati corak tidur saya menjadi sesuatu yang semula jadi. Jika pada suatu malam saya kurang tidur, malam berikutnya saya akan mudah mengantuk dan tidur awal secara semulajadi. Sekiranya badan saya bertenaga dan tidak letih, saya akan tidur kurang sedikit. Tubuh badan saya belajar untuk memaksa saya tidur bila penat dan mengantuk kerana tubuh saya tahu yang ia akan bangun pada waktu yang sama setiap pagi dan tidak ada perundingan lagi mengenainya.

Kesan daripada kaedah ini, saya biasanya tidur kurang 90 minit secara normal setiap malam tetapi saya rasa tubuh saya benar-benar rehat dan segar. Dan saya jarang untuk tidak tidur bila sudah berada di atas katil.


Dari pembacaan saya, kebanyakan orang yang susah tidur (pengidap penyakit insomnia) ialah orang yang masuk tidur bila mereka tidak mengantuk. Jika anda tidak mengantuk dan susah untuk tidur dengan cepat, cuba bangun dan berjaga untuk seketika. Jangan tidur lagi sehingga tubuh mengeluarkan hormon memberitahu yang anda perlu tidur (anda akan rasa mengantuk).

Jika anda masuk ke bilik tidur hanya bila anda mengantuk dan bangun pada waktu yang tetap setiap hari, anda akan sembuh dari penyakit sukar tidur (insomnia). Malam pertama anda berjaga memang anda akan tidur lewat, tapi anda akan terus tidur bila masuk ke bilik. Hari pertama memang akan sukar untuk anda kerana anda bangun awal dan hanya dapat tidur beberapa jam sahaja. Tetapi anda mestilah menghadapi hari itu dengan cekal dan anda akan merasa mengantuk awal pada malam ke dua. Selepas beberapa hari anda akan dapati corak tidur akan menjadi sekata dengan waktu tidur yang tidak jauh berbeza dan tidak ada masalah sukar untuk tidur lagi.


Jadi, jika anda mahu jadi orang yang bangun awal (atau memiliki lebih kawalan pada corak tidur dan mengatasi insomnia) maka cuba lah cara ini;

Masuk ke bilik tidur hanya bila anda benar-benar mengantuk dan bangun pada masa yang tetap setiap pagi, setiap hari, menjadi amalan rutin anda yang wajib. Anda akan bangun awal dan menjadi manusia cemerlang yang produktif.
Selamat mencuba! Selamat Bangun awal.
Salam Ceria!! 
Selamat Beramal…

No comments:

Post a Comment