arief98
Wednesday, April 18, 2012
Internet Saham Akhirat
Ia adalah saham akhirat ! ~ Picture by http://dekret.deviantart.com/
Assalamualaikum.
Internet bukanlah perkara baru lagi pada hari ini. Rata-rata orang memperkatakan tentangnya.
Hatta kanak-kanak yang masih berumur 7-8 tahun pun sudah pandai berbicara tentangnya dan menggunakannya.
Facebook, yahoo, google, mail, blogger, youtube dan sebagainya.
Boleh dikatakan pada hari ini, internet menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.
Ada yang berkata :
“Tak boleh hidup kalau tidak ada internet.”
Ia mendekatkan yang jauh, memudahkan urusan yang susah dan mengecilkan sesetengah masalah besar. Tetapi, internet bukanlah segala-galanya.
Hakikatnya, internet bukanlah sekadar internet, tetapi internet adalah saham akhirat kita. Saham akhirat?
Bagaimana internet boleh menjadi saham akhirat pula?
AKU GUNA FACEBOOK JE, APA KAITAN PULA DENGAN AKHIRAT – AKHIRAT NI?
Ada orang kata :
“Ah, aku guna facebook je! Apa kaitan pula dengan akhirat- akhirat ni?”
“Eh, aku guna Gmail tu nak tengok e-mel je.Ada orang hantar mesej ke tak. Takde pula aku dapat mesej-mesej agama. Jadi, mana kaitannya dengan akhirat pula ni.”
“Suka hati akulah nak update status, nak letak gambar apa pun kat facebook. Tu facebook aku. Apa engkau sibuk?”
“Blog aku, aku punya pasallah nak tulis apa. Nak tulis tentang hidup aku ke, nak tulis apa ke. Apa kaitan dengan engkau?”
Persepsi-persepsi yang selalu timbul bila berbicara tentang penggunaan internet.
Hakikat yang sebenarnya, kehidupan kita ini 24jam/7 hari untuk Allah, bukan? Jadi, bila 24/7, sepenuh masa kehidupan kita adalah untuk Allah, maka kita perlu berusaha menjadikan internet ini juga sebagai saham untuk bertemu Allah.
Maka, bagaimana sepatutnya kita menggunakan internet sebagai hamba Allah 24/7?
Beriman kepada internet atau berinternet dengan iman?
BERIMAN KEPADA INTERNET? BERINTERNET DENGAN IMAN?
Maka, kita perlu bertanya diri kita. Jika kita yakin kita sedang di atas jalan menuju Allah, maka kita perlu jadikan internet sebagai sebahagian daripada jalan yang akan membantu kita menuju syurga.
Lantaran itu, internet perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada saham akhirat kita.
Bagaimana menjadikan internet sebagai saham akhirat, beriman kepada internet atau berinternet dengan iman?
Orang yang beriman kepada internet, maka kehidupannya di depan internet itu hanyalah untuk internet sahaja.
Dia tidak nampak internet ini selain manfaatnya untuk kegunaan-kegunaan zahir sahaja. Hantar e-mel, tengok video, download movie, buat website/ blog dan sebagainya. Hanya untuk itu.
Bila beriman dengan internet, internet itu dipertuhankan hingga solat diabaikan, Al-Quran tidak dibaca, tugas-tugas lain yang lebih utama dilupa. Kalau dia seorang pelajar, terlalu sibuk dengan internet hingga mengabaikan pelajarannya. Kalau dia seorang yang sudah bekerja, terlalu sibuk dengan internet yang tidak berkaitan urusan pekerjaannya akan merosakkan produktiviti kerja.
Itu orang yang beriman dengan internet. Baginya, internet adalah segala-galanya. Kalau tak ada Allah, boleh tahan lagi bagi orang-orang macam ni. Tak baca Al-Quran, tinggal solat, tidak bergaul dengan masyarakat, semua itu tidak apa-apa bagi dirinya.
Tetapi, kalau tidak ada internet, macam sudah kehilangan nyawa, tidak mampu bernafas, hidup tidak tentu hala, kejap ke sana kejap ke sini. Bimbangnya hanya kerana dia tidak meneruskan rutin hariannya menggunakan internet seperti biasa. Dia tidak dapat menonton movie seperti biasa. Dia tidak dapat ber‘facebook’ seperti biasa. Bimbangnya hanya tentang soal kepentingan dirinya sahaja. Dia tidak fikir pula apa dia dapat sumbang untuk dirinya di akhirat nanti dengan internet yang digunakannya itu.
Tetapi, tidak bagi orang beriman. Orang beriman sentiasa letak Allah itu di hadapan. Jadi, dia buat apa-apa pun, maka iman kepada Allah adalah paksi.
Hatta, menggunakan internet sekalipun, iman kepada Allah adalah paksi sebenarnya.
Menggunakan internet pun ada kaitan dengan iman ke?
Ya . Sudah semestinya. Tetapi, bagaimana?
IMAN ADALAH PAKSI
Iman yang mengawal penggunaan internetnya. Bukan semua masa dihabiskan untuk internet. Ada masa diisi dengan Al-Quran, solat tidak tinggal dan tugas-tugas yang lebih utama dan lebih penting jika ada disiapkan terlebih dahulu.
Bila menggunakan internet pula, dia sentiasa mengutamakan syara’ di hadapan. Menjaga penglihatan agar tidak sengaja melihat perkara-perkara dosa, menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan agar tidak terjatuh dalam dosa, memelihara tangan agar tidak menulis atau melakarkan sesuatu yang tidak baik di jaringan-jaringan internet.
Yang lebih kreatif, dia tidak hanya sekadar menggunakannya, tetapi menggunakannya untuk memberi manfaat pula kepada orang lain.
Sebagai contoh, seorang penulis yang ingin menyampaikan mesej Islam kepada para pembacanya. Seorang yang mempunyai kemahiran dalam multimedia ingin memahamkan masyarakat tentang iman melalui video-video ringkas dan lain-lain lagi. Seorang pengguna facebook yang menggunakan facebooknya dengan syara’, akan sentiasa update statusnya dengan status yang menginspirasi dan memotivasi orang lain untuk mendekati Allah. Seorang blogger yang memanfaatkan blognya untuk menulis sesuatu untuk memahamkan masyarakat tentang Islam, tentang Iman, tentang hubungan dengan Allah.
Orang begini, bila tidak ada internet, kebimbangannya tidak berputar di atas soal kepentingan dirinya sahaja, tetapi dia memikirkan tidak ada internet adalah satu kerugian kerana dia tidak mampu menyumbang kepada masyarakat dalam skala yang lebih luas.
Mereka yang begini, lebih banyak saham yang mereka sumbangkan untuk menempah syurga, kerana mereka bukan hanya sekadar guna untuk kepentingan diri, tetapi menggunakan internet untuk memahamkan masyarakat tentang Islam. Kalau orang lain yang guna internet sekadar untuk diri hanya dapat 1 pahala kebajikan, mereka yang guna untuk bagi sesuatu kepada masyarakat, mereka akan mendapat berkali ganda lebih daripada itu.
Inilah yang sebenarnya yang kita mahu, berinternet dengan penuh keimanan, bukan beriman kepada internet.
PENUTUP : BUKAN SEMATA-MATA INTERNET, TETAPI INTERNET = SYURGA
Kehidupan kita ini bukan untuk internet sebenarnya, tetapi kehidupan kita ini adalah untuk Allah. Kalau kita 24jam/7 hari hanya sibuk ber ‘facebook’, download movie dan lain-lain sehingga mengabaikan Allah, ketahuilah bahawa internet telah menjadi Illah (sembahan) kita. Di akhirat nanti, kita hanya ada Allah untuk bantu kita, tidak ada internet untuk membantu kita.
Lain pula orang tidak mengabaikan Allah tetapi dia juga tetap ber’facebook’, download movie juga, berblog juga, maka orang begini ada saham pahala internet di depan Allah nanti.
Kita perlu ubah cara pandang kita. Internet bukan hanya sekadar internet. Tetapi, dengan internet, kita mampu menjana pahala untuk menghantar kita ke syurga Allah kelak.
Ringkasnya :
INTERNET = SYURGA
Teknologi internet ini walaupun ciptaan manusia, tetapi hakikatnya ia adalah ilmu dan ilham daripada Allah. Mana mungkin hak kepunyaan Allah, kita gunakannya bukan di atas jalan menuju syurga-Nya, mungkinkah?
Gunakanlah internet untuk meraih syurga, janganlah menempah neraka pula dengannya !
No comments:
Post a Comment
Newer Post
Older Post
Home
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment